Monday 9 May 2011

Kisah Renungan Bersama : Derma RM 1

Fadhil keluar rumah dari awal pagi untuk mencari pekerjaan bagi menampung keluarganya. Masih terngiang-ngiang di telinganya, suara anak kecilnya yang menangis kelaparan. Hati Fadhil begitu sayu meninggalkan isteri dan anaknya dalam keadaan sudah tiga hari tak makan, hanya meminum air paip sahaja.


Fadhil tak ada kerja tetap, dia seorang buruh kasar, namun syarikatnya yang terlibat dalam kes penipuan telah bankrap, menyebabkan dia kini tak ada kerja. Wang pampasan pun tidak diterimanya. Yang ada hanya RM 1 ditangan untuk sebarang keperluan semasa dia mencari pekerjaan ini, itupun duit yang ditemuinya diatas jalan tadi.


Puas sepanjang hari, Fadhil berjalan kesana kemari mencari pekerjaan namun tetap tak diterima. Dia terduduk dan menangis mengenangkan nasibnya itu, hanya air paip di jalan mengalas lapar perutnya itu, dia terkenang akan isteri dan anaknya yang juga kelaparan di rumah.


Air matanya mengalir deras, tak ada seorang pun manusia yang peduli akan nasib seorang lelaki yang sedang meratapi keadaan diri di pinggir jalan.


Tiba-tiba, bahunya dicuit seseorang. Dia mendongak. Seorang kanak-kanak dalam lingkungan 5
tahun sedang memandangnya dengan muka penuh kesedihan, Fadhil teringat anaknya yang seumur dengan kanak-kanak kecil ini.


“Kenapa nak?”


“Pak cik, saya lapar.”


Tersentak Fadhil mendengarnya, bagaimana dia hendak membantu kanak-kanak ini, sedangkan dia sendiri tidak mempunyai apa-apa?


Dia teringat akan wang RM 1 yang dimilikinya itu. Fadhil serba salah, hendak diberinya, dia takut kerana itulah satu-satunya duit yang dia ada sekarang.


Tapi melihat kanak-kanak yang masih kecil dan penuh debu debu jalan serta pakaian yang compang camping tidak terurus, dia merasa kasihan. Lalu dengan penuh keikhlasan, Fadhil memberikan wang tersebut sambil berdoa dalam hati agar kanak-kanak tadi dilindungi dan dijaga dari segala malapetaka.


Gadis tadi tersenyum manis walaupun hanya menerima RM 1 dari Fadhil, dia menyapu mukanya dan berkata lembut,


“Terima kasih pak cik, pak cik baik. Jangan risau. Pak cik akan dapat balik duit ni nanti lepas pak cik sampai rumah.”


Selesai berkata begitu, gadis kecil itu menghilang di dalam orang ramai yang sedang lalu lalang.


Fadhil bingung memikirkan kata-kata gadis tadi. Apakah maknanya? Fadhil meneruskan juga perjalanannya untuk mencari pekerjaan.


Hari semakin senja dan sebentar lagi akan malam, namun usahanya hari ini masih menemui jalan buntu seperti hari-hari sudah.


Dengan langkah lemah, Fadhil memutuskan untuk kembali ke rumahnya. Dia mengenangkan yang nasibnya sungguh malang, jiran-jiran semua tak mahu memberikan apa-apa padanya, walau sebutir beras sekalipun.


Terfikir juga di hati kecil Fadhil untuk merompak, tetapi segera dia teringat akan dosa yang sangat besar itu, segera dia menyesal dan berdoa kerana sempat berfikiran seperti itu.


Sudah masuk pukul 8 malam, ketika Fadhil sampai di depan rumah usang yang didiami bersama isteri dan anaknya itu. Suasana agak berlainan kerana ada tiga buah kereta mewah betul betul diletakkan di depan rumahnya. Fadhil menjadi cemas, risau kalau ada apa-apa yang buruk berlaku.


Dia meluru masuk ke dalam, dia melihat ada beberapa orang lelaki dan perempuan sedang berbual bersama isteri dan anaknya. Banyak makanan, barang keperluan dapur, pakaian yang ada disamping isterinya.


Fadhil memberi salam dan masuk dalam keadaan terhairan-hairanan.


Isterinya menjelaskan yang mereka ini adalah keluarga seorang perempuan yang disamun beberapa tahun lalu, Fadhil lah yang mengecam wajah-wajah suspek terlibat sehingga kes tersebut dapat diselesaikan. Bagaimanapun mereka gagal menjejaki Fadhil ketika itu untuk mengucapkan terima kasih mereka kerana menolong mereka, Fadhil pun tidak mengharapkan apa-apa ketika itu kerana dia merasakan yang dia hanya menjalankan tanggungjawabnya sahaja.


Mereka menawarkan kepada Fadhil RM 1 000, 000.00 untuk memulakan hidup baru dan membuka bisnes sendiri. Fadhil menolak dengan baik kerana tidak mahu termakan budi, namun mereka tetap mahukan Fadhil menerimanya. Fadhil bersetuju asalkan setelah berjaya nanti, dia akan membayar RM sejuta itu pada mereka, dan sekarang mereka hanya meminjamkan sahaja wang itu pada Fadhil. Mereka bersetuju dengan usul Fadhil.


Akhirnya selepas 5 tahun bekerja keras, Fadhil kini menjadi salah seorang usahawan tempatan yang berjaya dan hidup mewah. Bagaimanapun dia tetap tidak lupa akan orang yang susah dan sering membantu mereka untuk memperbaiki kehidupan mereka.


Kini, Datuk Fadhil dan keluarganya hidup dalam penuh kebahagiaan, kedamaian dan rezeki yang melimpah ruah. Baginya, gadis kecil yang datang padanya itu bukan gadis kecil sembarangan. Kerana derma seringgit, dia mendapat balasan sejuta ringgit…bayangkan sejuta kali ganda balasan untuk seringgit derma yang ikhlas.


Begitulah coretan dari kisah benar yang terjadi dalam hidup Datuk Fadhil Allyas dan kini anda pula yang membaca kisah ini. Renungkan dalam-dalam, apa pengajaran yang anda dapat?

No comments:

Post a Comment